Daftar Manuskrip Malayu-Jawi Ber‘anasir Sains dan Matematik: Pada Pertengahan Abad ke-15 Hingga Awal Abad ke-20 (Siri 1) menyenaraikan sejumlah naskhah berbahasa Malayu-Jawi di seluruh dunia, sama ada yang tersimpan dalam pelbagai institusi mahupun koleksi persendirian. Berbeza dengan sebuah katalog manuskrip biasa, daftar ini dilengkapi khulasah (abstrak) bagi setiap manuskrip yang tersenarai, dengan tumpuan khusus diberikan terhadap ‘unsur sains dan matematik bagi memudahkan para pengkaji mengetahui isi kandungannya. Adapun manuskrip yang disenaraikan mencakupi pelbagai bidang seperti ‘ilmu falak, mantiq, falsafah, tasawwuf, perubatan, dan sebagainya. Buku ini adalah hasil penyelidikan pada tahun 2005-2016 oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai KuPELEMA, ringkasan kepada Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Malayu yang ditubuhkan di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2005. Kumpulan ini diprakarsai oleh Prof. Dr. Shaharir bin Mohamad Zain ketika itu dan seterusnya diketuainya sehingga kini.